922 graduan baharu di Majlis Graduasi ke-22 Kumpulan Kolej MSU


Lima belas terima anugerah khas dalam empat kategori kecemerlangan di majlis graduasi gabungan 10 kolej Management and Science University (MSU)

Seramai 761 graduan diploma dan 161 graduan sijil menerima skrol masing-masing pada Majlis Graduasi ke-22 Kumpulan Kolej MSU (MSUC) yang berlangsung di Dewan Canselor Management and Science University (MSU) di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan; lima belas antara mereka menerima anugerah khas sebagai pelajar terbaik keseluruhan pada konvokesyen MSUC kali ini.


Barisan penerima anugerah khas di Majlis Konvokesyen ke-22 Kumpulan Kolej MSU

Anugerah Emas Presiden dimenangi graduan Diploma Pengurusan daripada MSU College Sabah, Leonie Vitalis Lotius, yang juga berucap mewakili para graduan. Anugerah Mohd Shukri Yajid dimenangi graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada MSU College Shah Alam, Norhayanti Nordin.


Penerima Anugerah Emas Presiden, graduan Diploma Pengurusan, Leonie Vitalis Lotius

Sepuluh penerima Anugerah Akademik termasuk lima daripada MSUC Sabah dan tiga daripada MSUC Shah Alam. Daripada MSUC Sabah, graduan Diploma Teknologi Perubatan, Natalie Ose Simon; graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Lea Vanessa Lupang; graduan Diploma Perakaunan, Ellyshea Edward; graduan Diploma Rekabentuk Grafik, Adibah Abd Aziz; dan graduan Diploma Pengurusan Hotel, BB Nurfitriyah Kamil; manakala daripada MSUC Shah Alam, graduan Diploma Pengurusan, Faruan Aidil Hamzah; graduan Sijil Sains Komputer, Efrida Yuliana; dan graduan Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Grace Ong Hwee Chern. Melengkapi senarai penerima Anugerah Akademik Konvokesyen kali ke-22 MSUC adalah graduan Diploma Seni Kulinari daripada MSUC Kota Bharu, Syamil Mohamad Khidzir; dan graduan Diploma Teknologi Maklumat daripada MSUC Seremban, Syed Nor Danish Danial Syed Nor Zurkanain.


Majlis Konvokesyen Kumpulan Kolej MSU di Dewan Canselor Management and Science University (MSU)

Anugerah Industri tajaan Puncak Niaga Holdings Sdn Bhd diterima oleh graduan Diploma Teknologi Maklumat daripada MSUC Ampang, Katrina Maria Muhammad Shahril; juga oleh graduan Diploma Pengurusan Hotel daripada MSUC Penang, Sri Munitharran Machavalavan. Anugerah Industri tajaan Westar Aviation Services Sdn Bhd diterima oleh graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik daripada MSUC Sarawak, Rovate Linggie Anak Kalong.

Kumpulan Kolej MSU (MSUC) merupakan institusi pendidikan tinggi persendirian bertaraf 6 bintang berdasarkan sistem penarafan kualiti MyQuest oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Terdiri daripada 10 buah kolej sehingga pertengahan 2018, MSUC kini disertai dua lagi cawangan; sebuah di Johor Bahru, Johor Darul Takzim, dan sebuah lagi di Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Sebagai institusi kolej Management and Science University (MSU), MSUC menawarkan pengalaman pembelajaran setara berfokuskan kualiti, bersandarkan kerangka kurikulum holistik yang juga menjurus kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam menyiapkan graduannya memenuhi keperluan kompetensi menghadapi kehendak teknologi pekerjaan alaf 21.


Graduan Kolej MSU, universiti ternama pilihan

Pembelajaran sepanjang hayat menjadi tumpuan ucapan Presiden Management and Science University (MSU) pada Majlis Graduasi ke-22 tersebut. Nasihat Professor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab. Yajid,

“Budaya pembelajaran harus disemat dan diamalkan sepanjang hayat melangkaui majlis graduasi hari ini, demi membina kemahiran yang memenuhi keperluan masa depan yang sentiasa berubah. Sejarah telah membuktikan betapa kegemilangan masa lalu bukanlah jaminan kejayaan masa hadapan. Majulah, dan terus majukan diri. Terus belajar, kerana pelajaran adalah kunci untuk terus meningkatkan diri menuju kejayaan demi kejayaan.”


922 graduan menerima skrol masing-masing

Turut hadir pada Majlis Graduasi ke-22 Kumpulan Kolej MSU, Pro-Chanselor Tan Sri Dato’ Seri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Naib Chanselor Professor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd. Hamid.